Produk Minda Online
Showing posts with label Cerita Melayu. Show all posts
Showing posts with label Cerita Melayu. Show all posts

Katak Yang Bijak

Pada suatu masa dahulu, terdapat dua ekor katak yang bijak. mereka tinggal di dalam sebuah kolam. Air kolam ini sangat jernih dan bersih. Mereka sangat gembira tinggal di dalam kolam itu. Mereka juga dapat mencari makanan dengan mudah.
Selain dua ekor katak itu, terdapat pelbagai jenis ikan yang tinggal di dalam kolam itu. Namun begitu, mereka tidak pernah diganggu oleh ikan-ikan atau hidupan lain. Mereka hidup di dalam kolam itu dengan gembira.
Beberapa tahun kemudian, kemarau panjang melanda tempat itu. Cuaca terlalu panas dan hujan tidak turun selama beberapa bulan. Air kolam itu mula surut dan hampir kering. Semua hidupan di dalam kolam mula risau. Kedua-dua ekor katak itu turut terasa bimbang.
"Sahabatku, saya rasa kita tidak selamat lagi tinggal di sini. Air kolam ini sudah hampir kering. Kita bukan sahaja susah untuk mendapatkan makanan tapi keselamatan kita juga terancam. Musuh-musuh akan menyerang kita nanti," kata seekor katak.
" Baik kita berpindah ke tempat yang lebih selamat. Apabila kolam ini dipenuhi air, kita akan kembali ke sini," kata katak yang seekor lagi.
Kedua-dua ekor katak itu pun berpindah dari kolam itu. Mereka mencari tempat yang lebih selamat untuk tinggal. Setelah beberapa lama berjalan, mereka menemui sebuah perigi.
"Saya rasa kita boleh tinggal di dalam perigi ini. Air perigi ini tentu dalam. Kita akan tinggal di sini dengan selamat," kata seekor katak. Lalu katak ingin melompat ke dalam perigi itu.
Tiba-tiba rakannya berkata, "Saya rasa kita tidak boleh tinggal di dalam perigi ini. Air di dalam perigi ini terlalu dalam. Jika air perigi ini juga kering suatu hari nanti, tentu kita tidak boleh keluar dari perigi ini kerana perigi ini sangat dalam."
Kedua-dua ekor katak itu pergi dari situ. mereka mencari tempat tinggal yang lebih selamat.

Lembu Jantan dan Kutu

Di sebuah ladang, tinggal seekor lembu jantan. Lembu jantan ini sangat rajin bekerja dan membantu tuannya. Tuan ladang itu amat sayang akan lembu jantanya. Setiap hari lembu jantan itu diberi makanan yang enak dan rumput yang segar. Lembu jantan itu juga dijaga dengan baik oleh tuannya.
Di dalam kandang itu juga terdapat seekor kutu yang jahat. Kutu itu suka menghisap darah lembu jantan. Kutu itu juga suka mengutuk lembu jantan itu dan memburuk-burukkan tuan ladang itu.
Pada suatu hari, kutu itu hinggap pada badan lembu jantan. Ia merayap di kepala lembu jantan itu. Sambil ia menghisap darah lembu jantan itu, ia mengutuk lembu jantan itu dan tuan ladang itu.
"Kamu memang bodoh. Setiap hari kamu bekerja keras tetapi tuan kamu tidak menjaga kamu dengan baik. Dia memberi kamu makan supaya kamu cepat gemuk. kemudian dia akan sembelih dan jual daging kamu,"kata kutu.
"Tidak baik kamu berkata begitu. selama ini tuan saya menjaga saya dengan baik. Dia memberi saya makanan yang secukupnya. Saya mesti menolongnya bekerja di ladang,"jawab lembu jantan.
"Kalau kamu tinggal di luar, kamu boleh hidup bebas. Kamu juga boleh mencari makanan yang lebih sedap.Kamu tidak perlu bekerja keras lagi,"kata kutu.
Tiba-tiba tuan ladang itu masuk ke kandang lembu. Kutu tidak sedar akan kedatangan tuan ladang itu. Tuan ladang ingin membersihkan lembu jantannya. Dia menepuk-nepuk belakang dan kepala lembu jantan itu. Kutu yang duduk di atas kepala lembu jantan itu terjatuh ke tanah. Ia tercedera akibat ditepuk oleh tuan ladang.
"Aduh, sakitnya badan aku!"jerit kutu.
"Itulah akibatnya jika suka mengutuk orang lain. Nasib baik kamu tidak mati,"kata lembu jantan.
Kutu sedar akan perbuatan buruknya selama ini. Semenjak hari itu, ia tidak lagi mengutuk lembu jantan dan tuan ladang itu.

Helang dan Musang

Pada suatu masa dahulu, helang dan musang bersahabat baik. Mereka hidup gembira dan saling membantu. musang tinggal di dalam belukar, manakala helang pula membuat sarang di atas sepohon pokok di tepi belukar itu.
Pada suatu hari, musang dan helang keluar mencari makan. Ketika musang berada jauh dari rumahnya, helang pun pergi ke tempat anak musang yang sedang tidur. Ia menyambar anak musang lalu dibawa ke sarangnya. Helang pun memberi anak-anaknya makan ank musang itu.
Tidak berapa lama kemudian, musang pun pulang. Musang berasa hairan kerana helang tidak berada di sarangnya. Musang juga hairan kerana anaknya telah tiada. Barulah musang faham bahawa anaknya telahy dimakan oleh helang.
Musang berasa sungguh kecewa dengan sikap sahabatnya, helang. Musang berasa sungguh marah kerana helang snaggup memakan anknya. Lalu musang pun pergi mencari helang tetapi tidak berjumpa. Musang menunggu sehingga helang pulang. Apabila helang pulang, musang terus memarahinya.
" Aku akan balas peruatan jahat kamu helang!" kata musang dengan marah.
" Kamu tidak boleh berbuat apa-apa kepada aku kerana kamu tidak boleh terbang," kata helang.
Sejak kejadian itu, musang dan helang tidak lagi bersahabat. Mereka kini telah menjadi musuh. Pada suatu hari, helang membawa pulang daging kambing dan unggun api. Ketika memberi anak-anaknya makan, angin bertiup kencang. Puntung api itu menyala lalu membakar sarang helang. Helang tidak dapat berbuat apa-apa kerana api membakar dengan cepat. Seluruh sarangnya terbakar menyebabkan anak-anaknya jatuh ke tanah. Helang cuba menyelamatkan anaknya, namun musang yang telah menunggu di bawah pokok itu terus makan anak-anak helang. Helang berasa sedih melihat musang memakan anak-anaknya.

Katak Yang Sombong

Di dalam sebuah kolam, terdapat seekor katak yang sombong. Katak itu tinggal bersama rakan-rakannya. Ia merasakan dirinya lebih pandai dan bagus daripada rakan-rakannya. Setiap hari, katak yang sombong itu akan menceritakan akan kehebatan dirinya.
Katak yang sombong in i juga tidak mahu rakan-rakannya lebih pandai daripadanya. Jika rakannya pandai berenang dan melompat, ia akan belajar berenang dan melompat lebih baik daripada rakannya.
Pada suatu hari, katak yang sombong dan rakan-rakannya bermain di tepi kolam. Tiba-tiba datang seekor kerbau untuk minum air di kolam itu. katak-katak itu berasa takut dan terkejut melihat haiwan yang besar itu. Mereka masuk ke dalam kolam dan berenang pulang.
katak-katak itu heboh bercerita tentang haiwan yang besar itu. Katak yang sombong berasa tercabar. Ia berasa marah apabila ada haiwan lain yang lebih bagus daripadanya. ia membandingkan dirinya dengan kerbau itu.
" Aku mesti kelihatan lebih besar daripada haiwan itu. Aku tidak boleh biarkan haiwan itu kalahkan aku. Aku tidak mahu ia lebih terkenal daripada aku,"fikir katak.
Kemudian katak yang sombong itu menggelembungkan perutnya. Perut katak itu menjadi lebih besar daripada biasa.
" Lihat rakan-rakan, aku juga akan menjadi besar seperti kerbau!" kata katak yang sombong itu dengan bangga.
" Wah, besarnya perut kamu!" jerit katak-katak yang lain.
Katak sombong itu berasa bangga. Ia menggelembungkan lagi perutnya. Perutnya menjadi semakin besar. Katak tidak mahu berputus asa. Ia mahu menjadi lebih besar daripada kerbau. Lama-kelamaan, perut katak menjadi besar dan tegang seperti belon. Katak masih tidak berpuas hati. Ia menggelembungkan lagi perutnya. Tiba-tiba, "bang!" Akhirnya perut katak itu pecah.
Katak-katak yang l;ain terkejut melihat kejadian itu. Katak yang sombong itu telah menjadi bangkai.

HELANG DAN BURUNG GAGAK

Pada suatu hari, seekor helang berlegar-legar di udara sedang mencari makanan. Tiba-tiba helang itu ternampak sekumpulan biri-biri sedang meragut rumput. Helang terbang ke arah kumpulan biri-biri itu lalu menyambar seekor biri-biri itu. Helang mencengkam biri-biri itu dengan kuat lalu membawanya terbang.
Tindakan helang itu telah dilihat oleh seekor burung gagak. Burung gagak kagum melihat kehebatan helang itu.
"Wah, sungguh gagah si helang! Aku juga boleh berbuat seperti dirinya," fikir gagak. Burung gagak tidak sedar bahawa saiz badannya yang kecil tidak dapat menandingi kehebatan helang itu.
Burung gagak terbang ke arah sekumpulan biri-biri itu. Burung gagak ingin meniru cara helang menagkap biri-biri. Burung gagak menghampiri seekor biri-biri lalu mencengkam badan biri-biri itu dengan kukunya yang tajam. Gagak cuba mengangkat biri-biri itu. Apabila ia hendak terbang, biri-biri itu terlepas dari cengkamannya.
Burung gagak tidak berputus asa. Ia mencuba sekali lagi. Gagak mencengkam badan biri-biri itu dengan kuat. Biri-biri itu berasa sakit lalu menjerit. Suara biri-biri itu mengejutkan rakan-rakannya dan penggembala. penggembala menuju ke arah biri-biri itu. Dia ternampak seekor burung gagak sedang hinggap di atas belakang biri-biri.
Burung gagak yang sedang leka itu tidak menyedari kedatangan penggembala. Penggembala terus menangkap gagak. Burung gagak meronta-ronta untuk melepaskan dirinya. namun ia tidak berjaya. Penggembala itu memegangnya dengan kuat. Penggembala membawa pulang burung gagak itu. dia meletakkan burung gagak itu ke dalam sebuah sangkar.
Burung gagak berasa sedih kerana telah dikurung. gagak tidak boleh terbang bebas seperti rakan-rakannya yang lain. gagak menyesal kerana melakukan kerja tanpa mengukur kemampuan dirinya bak kata pepatah ukurlah baju dibadan sendiri.....

Related Posts with Thumbnails

 
PENAFIAN : Pihak PSS SK Rokan tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini.
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes